Apr 24, 2026 - FASSelangor FC akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi menghadapi aksi Liga Super ke-23 menentang Kelantan The Real Warriors FC yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam ini.
Setakat ini, skuad Gergasi Merah berada di tangga ketiga liga dengan 43 mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan tempat kedua liga, Kuching City FC selepas mengharungi 21 perlawanan dengan mencatatkan 13 kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan.
Menurut Kim Pan-gon, Ketua Jurulatih Selangor FC, perlawanan di tempat lawan sentiasa mencabar, namun beliau yakin pasukan akan berusaha menghadapi situasi tersebut.
“Kami telah membuat persiapan yang cukup untuk perlawanan ini. Aksi di tempat lawan sememangnya tidak mudah, namun saya percaya kita mampu dan perlu mengatasi cabaran yang bakal dihadapi. Kita perlu mengekalkan fokus dari minit pertama hingga wisel penamat. Tabah dengan sokongan dan sorakkan daripada para penyokong, kita akan kekal berusaha bersama-sama,” kata beliau.
Bagi para penyokong yang tidak dapat bersama pasukan di Kelantan, kelab mengadakan tayangan langsung di Suasana Market Hall, Shah Alam bermula jam 8:15 malam. Ayuh, kita terus berikan sokongan kepada pasukan walau di mana anda berada!
Pihak pengurusan Selangor FC berharap skuad Gergasi Merah akan terus fokus dan berikan prestasi terbaik tdalam usaha meraih keputusan positif bagi mencapai sasaran pasukan musim ini.
Demi Kebanggaan!